27 Jun 2010

Skim Cepat Kaya VS MLM


Berikut adalah beberapa pertanyaan dan alasan yang seringkali diketengahkan oleh mereka yang berselindung di sebalik Skim Cepat Kaya dan pelaburan internet bertujuan untuk menjadikan program mereka 'tampak indah' walaupun sebenarnya hujah mereka terlalu rapuh dan cuba mengelirukan orang ramai dengan menyamakan pula operasi mereka dengan MLM.

1. Kenapa rakyat Malaysia suka melabur dalam skim cepat kaya? Aku tengok ramai je yang berminat. Kerajaan pun tak ambil tindakan..
Sebenarnya bukan rakyat Malaysia saja yang suka melabur dalam skim sebegini. Penduduk negara lain turut terpengaruh dengan skim sebegini. Bezanya, kurang pendedahan tentang baik buruknya pelaburan skim cepat kaya melalui Internet menyebabkan ramai rakyat Malaysia mudah terpengaruh dengan skim ini. Tidak seperti yang berlaku di negara-negara maju, buat masa sekarang, belum ada undang-undang khusus yang diperuntukkan untuk menangani gejalah skim cepat kaya daripada beroperasi di Malaysia. 
_
Namun mana-mana syarikat yang mengambil deposit tanpa lesen tetap melanggar undang-undang negara tanpa mengira sama ada ia skim cepat kaya atau tidak. Jadi hakikatnya, pengelola skim cepat kaya tetap menyalahi undang-undang atas kesalahan pengambilan deposit secara haram. Jika dilihat daripada statistik yang diperolehi dari Alexa.com, kebanyakan laman web skim sebegini mempunyai pengunjung yang majoritinya terdiri daripada rakyat Malaysia . 
_
Trend sebegini sudah wujud semasa zaman kegemilangan 12DailyPro.com dan StudioTraffic.com. Mereka adalah antara pelaburan Internet yang rancak beroperasi sepanjang tahun 2005 dan 2006 dahulu. Semasa kemuncaknya, 12DailyPro.com berjaya menarik 175,000 pelabur dari seluruh dunia dan ia berjaya mengumpul dana melebihi USD$500 juta dalam masa kurang daripada sembilan bulan beroperasi. 87,000 daripada pelabur 12DailyPro.com terdiri daripada rakyat Amerika dan selebihnya pelaburan luar Amerika.
_
Yang menariknya, hasil daripada siasatan Thomas F. Lennon, individu yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk menyiasat dan mengambil alih 12DailyPro kerana beroperasi menyalahi undang-undang, beliau mendapati kumpulan pelabur luar Amerika teramai terdiri daripada rakyat Malaysia.
_
Mungkin rakyat Malaysia suka mengambil jalan singkat yang tidak memerlukan usaha untuk menjadi kaya-raya tanpa menyedari jika sesuatu itu ‘sounds too good to be true – it probably is (a SCAM!)’.
Maksudnya jika sesuatu itu terlalu baik untuk dipercayai – sememangnya ia tidak sepatutnya dipercayai kerana ia tidak sebaik seperti yang diwar-warkan. Tidak ada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Memetik kata-kata Irfan Khairi:

pada pendapat saya lah, mungkin kaum melayu sedar kita di belakang dari segi ekonomi dari kaum lain.
jadi, bila dah kebelakang, secara psychologynya, kita nak ke depan
seperti perlumbaan marathon… sapa yang kat belakang mesti nak sangat ke depan kan?
jadi, bila dalam hati, nak sangat ke depan, apa kata tiba-tiba ada teksi berhenti kat tepi kita and kata:
“brader, apa susah-susah mau lari? mari naik teksi, saya hantar lu ke depan dan lu boleh potong semua olang”
so, kalau naik teksi, kira mengelat lah. tetapi, secara psikologi nak sangat menang!
kita pun naik lah teksi sebab nak kedepan.
sedar2, bila dah depan, official marathon kata. “Sorry beb, You are disqualified… sebab mengelat!”
camtu lah lebih kurangnya. saya rasa, secara psikologi, kita nak ke depan dari segi ekonomi bila berbanding kaum lain. bila dijanji boleh kaya raya dengan cara pintas, itu yang ramai terjerumus.
hendaknya jauhkan dari kita :)


2. Kerajaan ingin mengharamkan skim cepat kaya kerana mereka tidak dapat mendapat keuntungan hasil cukai daripada operasi skim sebegini.
Pengharaman dilakukan kerana skim-skim ini beroperasi tanpa lesen dan mengambil deposit daripada orang ramai secara haram. Skim sebegini tidak dilesenkan kerana modus operandinya berunsurkan penipuan yang bakal merugikan majoriti para pelabur. Kenapa kerajaan harus mengiktiraf perniagaan yang beroperasi melalui penipuan?
_ 
3. Skim pelaburan Internet beroperasi secara sah dan tidak wujud unsur penipuan. Keuntungan aku mencecah [ isi tempat kosong ] ribu dollar Amerika sebulan dalam skim ini. Kalau tipu kenapa aku untung?
Skim cepat kaya bermula apabila beberapa bakal pelabur terpengaruh dengan potensi yang menjanjikan pulangan lumayan dengan pelaburan kecil berisiko rendah walaupun tanpa sokongan trek rekod yang boleh dipercayai.
Selepas mendapat pulangan yang dijanjikan, sifat tamak mula menguasai diri. Pelabur-pelabur tersebut mula melaburkan lebih banyak wang ke dalam skim ini.
Dalam masa yang sama berita gembira tersebut mula tersebar kepada orang lain supaya mengambil peluang keemasan ini. Makin ramai yang melabur, makin ramai yang melihat pelaburan mereka memberi pulangan lumayan seperti yang dijanjikan.
Namun, realitinya, keuntungan yang dinikmati oleh pelabur awal datang daripada pelaburan baru. Ia bukan hasil keuntungan daripada pelaburan persisir pandai, pelaburan luar negara atau apa-apa pelaburan yang diwar-warkan oleh pemilik skim ini.
Contohnya, apabila pelabur D melaburkan wangnya, wang tersebut digunakan untuk membayar ‘keuntungan’ pelabur-pelabur A, B dan C. Apabila pelabur-pelabur X, Y dan Z melabur, wang mereka diagihkan untuk membayar ‘keuntungan’ para pelabur A hingga W.
Tapi aliran masuk ‘wang segar’ akan terhenti apabila tiada lagi pelabur baru yang masuk di bawah pelabur X, Y dan Z. Masa inilah pembayaran keuntungan yang dijanjikan akan berhenti.
Salah satu sebab mengapa skim ini kelihatan seolah-olah berjaya ialah kerana hampir semua pelabur awal yang telah menerima pulangan melaburkan kembali wang ini ke dalam skim tersebut. Tindakan mereka ini tidak menghairankan memandangkan pulangan daripada skim ini jauh melepasi keuntungan yang mereka boleh nikmati daripada pelaburan lain. Bagi mereka itulah bukti kesahihan skim tersebut untuk terus melabur.
Berbalik kepada persoalan di atas, kebiasaannya ramai di kalangan pelabur masih belum dibayar secara tunai atau memilih untuk memusingkan keuntungan awal mereka untuk menggandakan keuntungan. Mereka cuma disogokkan dengan penyata maya melalui laman web skim tersebut yang menunjukkan sejumlah wang yang kononnya sudah menjadi milik mereka.Wang tunai ini milik pengelola skim bukan anda. Tidak ada wang tunai yang keluar dari kocek pengelola skim ini selagi ia tidak dikeluarkan oleh pelabur.
Jika ada di antara pelabur yang cuba mengeluarkan wang mereka, yang bernasib baik akan mendapat wang tersebut. Tetapi ada di kalangan mereka yang dibatalkan keahlian serta-merta tanpa penjelasan munasabah dan pelaburan mereka hilang begitu saja.
Ini masalahnya – akan tiba satu peringkat di mana salah satu daripada tiga perkara di bawah akan berlaku
  1. Pengelola skim cepat kaya akan menghilangkan diri bersama semua wang pelaburan yang masih berada di tangan mereka.
  2. Skim tersebut akan runtuh atas bebanan sendiri. Ini berlaku apabila, kemasukan duit baru mula berkurangan dan pengelola mula menghadapi masalah membayar pulangan lumayan yang dijanjikan. Di sinilah timbul alasan-alasan dari pengelola skim ini yang sebenarnya bertujuan untuk melambatkan pembayaran wang. Berita mula tersebar dan para pelabur mula bimbang dan berlumba-lumba mengeluarkan wang pelaburan mereka sekaligus.
  3. Modus operandi skim ini didedahkan. Apabila pihak berkuasa mula mengkaji rekod transaksi skim sebegini, mereka mendapati aset-aset yang diwar-warkan sebenarnya tidak wujud.
Memang telah ditakdirkan yang skim cepat kaya akan berakhir melalui mana-mana situasi di atas. Skim ini ditubuhkan untuk gagal dan itulah hakikat yang sebenarnya.

4. Daripada contoh yang kau berikan, nampaknya hampir semua pelabur dari A hingga W menerima bayaran, yang rugi cuma pelabur X, Y, Z. Jadi sebenarnya keuntungan pelabur yang menyertai skim-skim ini terjamin selagi mereka menyertainya dari peringkat awal lagi.
Pemikiran sebegini bukan saja merugikan tapi merbahaya. Penyertaan awal dalam skim ini tidak menjamin anda mendapat keuntungan.
Seperti yang saya jelaskan di atas, ramai pelabur A hingga W belum mengeluarkan wang mereka kerana melaburkan kembali untuk mendapat keuntungan yang lebih besar. Laman web skim bertindak untuk mengaburi mata pelabur yang kononnya sudah dibayar melalui penyata online.
Banyak skim-skim ini ditutup begitu saja beberapa minggu selepas dibuka. Sebagai contoh, saya sendiri boleh mencipta laman web skim cepat kaya dan mengumpan ahli baru dari mana-mana forum supaya menyertai skim saya yang gemilang itu. Orang yang tamak akan menyertainya tanpa berfikir panjang lebar dan memasukkan deposit minimum 20 dolar seperti yang disyaratkan oleh saya.
Selepas saya menerima 10 ahli saya boleh menutup laman web tersebut begitu saja tanpa dikesan. Saya sudah mendapat 200 dolar. Perbelanjaan untuk membuat laman web tersebut kurang 20 dolar. Jika saya punya 10 laman web, keuntungan saya mudah mencecah 2000 dolar. Jika saya sanggup menunggu lebih lama, saya mampu mengaut keuntungan jutaan dolar daripada pelabur yang gairah tapi tidak tahu mereka ditipu.

5. Ini semua salah kerajaan kerana mengharamkan skim cepat kaya. Jika tidak lebih ramai yang bakal menikmati keuntungan.
Setahu saya kerajaan belum mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengharamkan skim cepat kaya dari segi undang-undang – betulkan saya jika saya salah. Saya tahu ia telah diharamkan oleh majlis fatwa kebangsaan. Apa yang berlaku ialah, buat masa sekarang kerajaan hanya menyiasat dan mengeluarkan amaran berkenaan syarikat atau laman web yang tidak diluluskan di bawah undang-undang sekuriti. Samaada kerajaan mengharamkan skim cepat kaya atau tidak. Ia tetap akan ditutup bila-bila masa dan yang menutupnya tidak lain tidak bukan pemilik skim itu sendiri. Sekurang-kurangnya itulah yang berlaku pada masa sekarang.

6. Jika kerajaan beria-ia sangat nak haramkan skim cepat kaya di sisi undang-undang kenapa tak haramkan rokok, arak dan perjudian sekali?
Saya tidak ingin menyentuh persoalan ini dari prespektif agama. Tapi dari segi rasionalnya ini jawapan saya:
Rokok
Rokok dan amalan merokok telah dipraktikan sejak dahulu kala lagi. Datuk-datuk dan nenek-nenek di kampung tak perlu ditipu oleh para pengilang rokok untuk mengamalkan kegiatan merokok sebagai gaya hidup berprestij. Malah dalam kotak rokok pun diletak amaran yang ia membahayakan kesihatan. Skim cepat kaya pula menjamin pulangan lumayan tanpa menjelaskan risiko sebenar dan modus operandi skim tersebut. Ini adalah satu penipuan.
Arak
Saya tidak fikir ada unsur-unsur penipuan dalam penjualan arak. Jika anda mengatakan iklan arak cuba menipu penonton dengan mesej glamour berunsur seks yang seolah-olah memberi manfaat kepada peminum arak – jawapan saya itulah iklan.
Stesen-stesen TV turut menggunakan seks untuk menarik minat penonton. Majalah wanita menjanjikan anda menjadi wanita berjaya, glamour, menawan dan berambut hitam ikal mayang jika membaca keluaran mereka. Adakah ini satu penipuan?
Perjudian
Perjudian menjanjikan satu kemungkinan. Individu yang berjudi tahu untung rugi bukan ditentukan oleh syarikat perjudian tapi berdasarkan nasib masing-masing. Syarikat skim cepat kaya sendiri menjanjikan kekayaan dalam masa yang singkat untuk semua orang. Malangnya ramai pelabur yang tidak menyedari bencana yang bakal menimpa mereka. 
Ini bukan bermakna saya menyokong aktiviti yang tak bermoral ini.

7. Bukankah perniagaan jualan langsung dan MLM dan skim cepat kaya benda yang serupa?
Tidak. Kebanyakan syarikat jualan langsung seperti Amway turut menjual produk fizikal. Para pengedar tidak diwajibkan untuk menaja pengedar baru untuk mendapat keuntungan. Amway ditubuhkan pada November 1959 di Amerika Syarikat dan mula bertapak di Malaysia pada 1976. Pada mata syarikat, MLM hanyalah satu kaedah untuk melariskan produk jualan mereka dan dalam masa yang sama mengurangkan kos operasi dan promosi syarikat dengan melantik agen jualan atau lebih dikenali sebagai direct seller yang perlu bersemuka dengan end user. Syarikat terus bertahan kerana penjualan produk yang berkualiti disokong oleh instrumen promosi yang giat dijalankan oleh ahlinya. 
Syarikat MLM juga boleh gulung tikar sekiranya produknya tidak mampu untuk menembusi pasaran mungkin disebabkan kualiti dan sebagainya. 2 tahun pertama adalah tahun kritikal bagi sesebuah syarikat MLM yang baru. Setelah syarikat ini bertapak kukuh, barulah lesen AJL yang dikeluarkan oleh KPDNHEP dikeluarkan setelah semua prosedur mengikuti piawaian kerajaan.
Sebaliknya, setahu saya tidak ada skim cepat kaya yang mampu bertahan dan terus beroperasi selepas sekian lama. Kebanyakan skim pelaburan cepat kaya melalui Internet mempunyai jangka hayat kurang dua tahun. Easy come, easy go.
Skim yang lebih popular mungkin bertahan selama 3-4 tahun, malangnya lebih lama satu skim itu bertahan lebih dramatiklah kemusnahan yang bakal menimpa para pelabur.
Di samping itu, kebanyakan syarikat MLM menjelaskan kepada para pengedar dari mana keuntungan itu diperolehi. Skim cepat kaya memberi pelbagai alasan kabur untuk menyembunyikan fakta ini.
Tapi ingat, ada diantara skim cepat kaya yang berselindung di sebalik perniagaan jualan langsung atau peluang perniagaan lumayan. Sila rujuk kepada senarai amaran yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk maklumat lanjut.

8. Aku mula melabur sejak 2005 dalam skim cepat kaya dan pelaburan aku kini melebihi US100,000 dalam skim ini. Buat masa sekarang aku mendapat pulangan USD60 ribu sebulan. Gaji kau sampai tak sampai pun USD60 ribu sebulan.
Jika inilah alasan untuk membuktikan skim cepat kaya adalah perniagaan yang sah, maka saya bersimpati dengan anda. Sila baca jawapan no 3 dan 4.
Oh bukan saya ingin bermegah tapi jika pendapatan saya melebih USD60 ribu sebulan, ia akan kekal lebih lama daripada pendapatan anda melalui skim cepat kaya yang sebenarnya hanya dinikmati secara maya.

9. Yang kau menyibuk ni apasal? Aku punya duit suka hati akulah apa nak buat. Untung rugi aku tanggung sendirilah. Skim ini telah mengubah hidup aku.
Saya cuma berkongsi pendapat tentang keburukan skim cepat kaya dan pelaburan melalui Internet.
Alasan yang anda berikan sebenarnya merupakan alasan yang sama yang telah digunakan oleh para pelabur dalam skim-skim cepat kaya yang telah gulung tikar. Kebanyakan mereka sekarang menanggung kerugian dalam diam.
Saya tidak nafikan ada di kalangan pelabur yang untung tapi ini tidak bermakna skim ini sah. 10 atau 1000 mungkin sudah mendapat pulangan. Tapi mungkin tidak pernah terlintas di fikiran anda yang 10,000 pelabur menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit. Jika skim ini runtuh dah pelabur awal masih belum mengeluarkan wang mereka, tidak ada siapa yang untung kecuali pemilik skim ini.
Berapa ramai keluarga yang porak peranda, pelabur yang dikejar along atau bermati-matian membayar pinjaman bank selepas impian mereka hancur begitu saja?
Orang yang sebenar-benarnya kaya adalah penganjur skim ini bukan anda. Dan orang yang rugi mungkin bukan anda, tapi ribuan pelabur lain yang anda tidak kenali. Jika anda pentingkan diri sini, mungkin kenyataan ini tidak memberi apa-apa makna kepada diri anda. 

10. Selalunya orang yang memburukkan skim cepat kaya terdiri daripada mereka yang tidak pernah menyertai skim ini. Kalau takut rugi tak perlu melabur.
Adakah seseorang itu perlu menyertai skim cepat kaya untuk mengenal pasti baik buruknya skim ini? Ratusan ribu orang telah rugi melalui skim sebegini itu sudah cukup untuk mengelakkan dari melibatkan diri.
Secara peribadi saya turut mengenali individu yang mengaut keuntungan. Oleh kerana saya faham modus operandi skim cepat kaya, saya tidak melihat ini sebagai bukti kesahihan skim ini. Namun, setahu saya lebih ramai yang menanggung kerugian daripada keuntungan dan itulah hakikatnya.
Saya juga pernah untung dan saya juga pernah rugi jadi saya fikir saya juga layak untuk berkongsi pengalaman. Lebih banyak kerugian yang saya tanggung dari keuntungan.
Kepada yang belum terjebak di dalam skim cepat kaya, saya sarankan elakkan daripada melibatkan diri. Kepada yang sudah melabur keluarkan duit anda secepat mungkin – selagi boleh.
Jika anda tidak peduli dengan kerugian yang ditanggung oleh orang lain dan ingin terus melabur dan berkempen – teruskan pentingkan diri anda sendiri jika itu mengembirakan anda dan tunggulah kerugian yang bakal menimpa – jika anda belum mencapai keuntungan.
Jika ada apa-apa isu yang kurang jelas. Sila tanya dalam bahagian komen di bawah.
Jika anda dapati pos ini memberi manfaat – sila link dari blog anda atau rekomen rakan anda untuk membacanya. Terima kasih!

0 comments:

Catat Ulasan

MILLIONAIRE IN THE MAKING

MILLIONAIRE IN THE MAKING
Klik untuk dapatkan buku ini sekarang!!
Terdapat ralat dalam alat ini
 

Minda Networkers. Copyright 2009 All Rights Reserved