26 Jun 2010

MLM dan perniagaan


Multi Level Marketing atau MLM. Mungkin ada diantara anda yang tidak menyukai MLM. Sebab itu ada yang menamakan MLM sebagai Meeting Larut Malam. Fobia. Barangkali ada pengalaman tertentu menyebabkan anda berasa bosan dengan MLM. Ia juga dikenali sebagai network marketing yang bermaksud pemasaran secara jaringan. MLM bukanlah skim cepat kaya, jauh sekali kalau nak dikaitkan dengan pelaburan internet yang menjanjikan duduk diam dapat duit.

MLM bukanlah entiti asing yang terkeluar dari perniagaan, malahan MLM adalah sebahagian daripada  perniagaan. Ditambah pula sekarang ini dengan kemajuan internet, gaya dan kaedah produk sampai kepada pengguna telahpun berubah. Sesuai dengan peredaran zaman dan kecanggihan teknologi, tidak dapat dinafikan MLM telah mula mendapat tempat terutamanya di hati rakyat Malaysia. Jadi, bagi sesetengah orang MLM adalah satu perniagaan bentuk baru. MLM yang disebutkan disini adalah MLM yang sebenar, dan bukannya skim cepat kaya yang berselindung di sebalik nama MLM.

Menjadi usahawan bukan mudah. Banyak rintangan dan dugaan yang perlu anda tempuhi pada 5 tahun pertama. Sistem. Produk. Promosi. Pemasaran. Aliran Tunai. Kos kedai atau pejabat. Sewa. Bil api air. Gaji pekerja. KWSP. Urusan undang-undang. Rakan kongsi. Modal. Pinjaman dan sebagainya.

Tetapi menerusi MLM, dengan yuran kemasukan yang rendah sebagai ahli, anda kini tidak perlu lagi memikirkan itu semua. Anda hanya perlu menumpukan usaha anda untuk menjual produk yang sedia ada dan mencari rakan seperniagaan anda. Syarikat MLM tempat anda bernaung, telah menyediakan keperluan yang lain. Tidak perlu pening kepala.

Bayangkan anda menjual pisang goreng di tepi jalan. Kos & modal penyediaan gerai jalanan sebegitu adalah jauh lebih mahal. MLM hanya memerlukan diri anda untuk maju ke hadapan dengan mematuhi sistem pemasaran yang telah ditetapkan. Kalau anda tidak percaya, sila jual pisang goreng di jalanan sekarang juga. Dan selepas itu anda akan mengerti kenapa MLM adalah salah satu cabang perniagaan yang menarik.

Syarikat MLM yang baik akan menyediakan kursus dan kelas tertentu untuk memajukan diri anda baik dari sudut motivasi, kepimpinan dan yang paling utama, latihan jualan secara percuma dan sekiranya ada bayaran sekalipun, kos yang terlalu minimum. Sekiranya anda melakukan perniagaan konvensional, latihan-latihan sebegitu memerlukan kos yang tinggi.

Tetapi perlu diingat, MLM tidak sesuai dengan semua orang. Kerana MLM adalah salah satu cabang perniagaan sahaja, dan setiap seorang daripada kita ada kecenderungan perniagaan yang tersendiri. Dan tidak salah sekiranya anda mahu mencuba arena MLM sekiranya anda ingin mendapatkan pendapatan tambahan. Jangan paksa diri kalau seandainya bisnes ini tidak sesuai untuk anda. Untuk pengetahuan umum, bulan-bulan pertama menyertai MLM, anda pasti akan berdepan dengan pelbagai masalah kerana anda cuba keluar daripada "comfort zone" yang sekian lama anda diami kepada "uncomfortable zone" yang pasti banyak menguji anda. 95% ahli network marketing yang mula berjinak dengan MLM kecundang pada langkah pertama.

Oleh kerana MLM juga adalah perniagaan, maka jangan sesekali mengimpikan pulangan sekelip mata. Hari ini anda sertai, minggu depan sudah mimpi nak pakai BMW. Itu namanya anda bodoh dan anda tamak. Perniagaan tetap perniagaan, anda perlu berusaha gigih serta bermula dari bawah dan perniagaan bukan skim cepat kaya. Setiap orang yang ingin menceburi bidang perniagaan ini harus berdepan dengan hakikat, cabaran serta onak duri yang harus dilalui sepanjang bergelar "network marketers" atau lebih popular di tempat kita dengan jolokan leaders MLM.

Sekiranya anda berminat untuk berniaga, tetapi tidak mempunyai modal besar, tidak tahu berniaga konvensional dengan modal yang minimum, tiada network perniagaan dan sentiasa memerlukan motivasi dan dorongan barangkali MLM adalah tempat yang sesuai untuk anda bermula.

Tetapi pastikan anda menyertai MLM yang sebenar dan bukan skim cepat kaya yang berselindung di sebalik nama MLM. Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam pos yang seterusnya.

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

Blur le pasal MLM ni..

Catat Ulasan

MILLIONAIRE IN THE MAKING

MILLIONAIRE IN THE MAKING
Klik untuk dapatkan buku ini sekarang!!
Terdapat ralat dalam alat ini
 

Minda Networkers. Copyright 2009 All Rights Reserved